“Adat itu Pelita Kehidupan Orang Asli
Pada 31hb Oktober and 1hb November seramai 49 orang peserta yang berasal dari komuniti Jahut, Temuan, Chewong, Mendriq, Temiar, Mah Meri, Semelai dan Semoq Beri berkumpul di Kampung Orang Asli Sungai Mai, Jerantut, Pahang untuk berkongsi maklumat dan pendirian tentang Adat Orang Asal.
Kajian Adat adalah suatu inisiatif Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) untuk mengeluarkan satu cetakan hasil kajian yang menunjukkan bahawa Adat Asal adalah asas masyarakat Orang Asal serta kepentingannya untuk identiti Orang Asal. Selain daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga akan menjalankan perjumpaan yang sama untuk mengumpulkan maklumat dan pandangan di kalangan ahli-ahli dan rakan-rakan JOAS.
Pembentangan pertama telah dijalankan sempena Perayaan Hari Orang Asal Sedunia pada Ogos 2014 di Tenom, Sabah di mana ia menjelaskan sebab dan ciri-ciri Kajian Adat Asal JOAS.
Pengkaji utama untuk Semenanjung adalah Dr.Colin Nicholas. Beliau adalah penyelaras Pusat Prihatin Orang Asli (COAC) di mana COAC adalah NGO sokongan JOAS.
Kebanyakan peserta adalah kaum lelaki dan di kalangan mereka ada juga yang berpangkat ketua kampung atau batin. Selain daripada batin, antara mereka adalah orang-orang tua yang berpengalaman dan banyak memberi maklumat serta cerita tentang adat kampung mereka.
Salah seorang peserta wanita–saudari Asmah Lily–menerangkan bahawa dia berasa kekurangan kaum wanita dalam perjumpaan ini adalah disebabkan oleh perubahan peranan wanita pada zaman moden di mana kerja rumahtangga mereka dah bertambah banyak jika berbanding dengan dahulu dan hal ini mengakibatkan kekurangan penglibatan mereka dalam urusan adat.
Perbincangan pada 1hb November bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang. Tumpuan utama perbincangan ini adalah nilai-nilai murni dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Undang-undang Adat Asal.
Pada pendapat Colin, sebenarnya proses kajian ini adalah sangat penting di mana proses ini dapat membantu komuniti Orang Asli supaya mereka faham tentang keunikan adat mereka serta pengiktirafan adat di peringkat antarabangsa dan selepas itu dapat membahas dengan pihak-pihak luar yang mencabar kewujudan Orang Asli dan adat mereka.
Selain daripada perkongsian Undang-undang Adat Asal yang menarik daripada komuniti mereka, para peserta juga memberi penerangan dan analisa seperti Adat Asal bermesra alam dan mementingkan kelestarian alam, Adat Asal memberi pendidikan moral dan menunjukkan masyarakat Orang Asli adalah bertamadun, Adat Asal mengutamakan pendidikan dan menghargai antara satu sama lain, dan sebagainya.
Banyak maklumat telah dikumpulkan sempena perjumpaan ini dan ramai peserta yang berharap cetakan ini dapat disampaikan secara luas dan dijadikan warisan anak-anak Orang Asal.
Lihat gambar-gambar lain di link ini: http://on.fb.me/1wUEvmo
Lapuran oleh: Koong Hui Yein (Penyeleras Program di JOAS)
3 November 2014