Pada 1 Januari 2015 lepas, sebuah perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Jemeri di Pahang, diceroboh oleh sekumpulan yang dipercayai orang Melayu. Laporan dari penduduk kampung menyatakan mereka menceroboh masuk untuk mengambil buah kelapa sawit yang dimiliki oleh penduduk Kampung Jemeri.
Ini adalah kali kedua Kampung Jemeri diceroboh dengan tujuan sama iaitu mengambil buah sawit milik penduduk kampung beberapa bulan lalu. Menurut laporan penduduk lagi, mereka (penceroboh) datang dan mengugut menggunakan parang, malah ada yang dilihat membawa samurai. Mereka membawa lori dan pacuan empat roda, serta merosakkan pagar yang dibina penduduk untuk memasuki kawasan ladang tersebut.
Penduduk menyatakan bahawa mereka telah membuat banyak aduan kepada polis tetapi tiada tindakan diambil, malah mereka yang membuat aduan juga akan ditangkap. Sehubungan dengan itu, Timbalan Presiden JOAS Semenanjung Yusri Ahon serta beberapa ahli lain telah datang ke Kampung Jemeri untuk meninjau kes tersebut. Beliau juga turut memanggil polis berhubung kes berkenaan.